Perlembagaan PKBS

E-mail Print PDF
FASAL 1 NAMA
(1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Komuniti Bugis Sabah atau nama ringkasnya ‘PKBS’. Selepas ini di sebut ‘Pertubuhan’
FASAL 2 TEMPAT URUSAN
(1) Alamat berdaftar dan surat-menyurat Pertubuhan ialah di No.1-1-9, Lot 19, Tingkat 1, Lorong Juta 1, Plaza Juta, 88400 Kota Kinabalu, Sabah. atau ditempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa.
(2) Tempat urusan berdaftar dan alamat surat - menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
FASAL 3 TUJUAN/MATLAMAT
1) Untuk menjaga kebajikan komuniti Bugis di Sabah serta berusaha meninggikan taraf hidup mereka dari segi sosial, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan dengan berlandaskan lunas-lunas Islam.
2) Memelihara kesenian, kebudayaan dan tradisi komuniti Bugis yang sedia wujud.
3) Berikhtiar untuk mengawal, memelihara serta mengamalkan asas-asas persahabatan di antara suku-suku kaum khasnya di Sabah dan di seluruh Malaysia amnya.
4) Mengambil bahagian dan menggalakkan apa jua usaha kebajikan yang memberi faedah kepada ahli-ahlinya.
5) Berusaha untuk menubuhkan ‘Tabung Pendidikan PKBS’ bagi membantu membiayai pelajaran para pelajar yang layak tetapi tidak mampu.
6) Menyatupadukan kegiatan para ahlinya di samping bekerjasama dengan lain-lain persatuan yang berdaftar di seluruh Malaysia yang sama tujuannya dengan persatuan ini.
7) Persatuan ini tidak boleh mempunyai pergabungan atau perhubungan dengan mana-mana pertubuhan yang ditubuhkan di luar Malaysia.
8) Persatuan ini tidak akan terlibat atau dilibatkan dengan mana-mana pertubuhan yang bergiat dalam politik.
FASAL 4 KEAHLIAN
1) Keahlian adalah seperti berikut :
A. Ahli Biasa
Terbuka kepada Warganegara Malaysia berketurunan Bugis dan bermastautin di Sabah serta berumur 18 tahun ke atas.
B. Ahli Bersekutu
Terbuka kepada sesiapa yang berminat dengan aktiviti ini yang tinggal di luar kawasan Sabah. Ahli Bersekutu tidak boleh mengundi atau memegang apa-apa jawatan dalam Pertubuhan. Walaubagaimanapun mereka berhak menikmati segala kemudahan dalam Pertubuhan seperti Ahli Biasa.
2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dibuat dalam borang yang disediakan oleh Pertubuhan ini serta dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.
4) Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.
FASAL 5 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
(1) Bayaran masuk dan yuran bulanan yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut :
a. Bayaran Masuk : RM 10.00 (Ringgit Malaysia : Sepuluh Ringgit Sahaja)
b. Yuran Tahunan Ahli Biasa : RM 1.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ringgit Sahaja)
c. Yuran Tahunan Ahli Bersekutu : RM 1.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ringgit Sahaja)
(2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 3 bulan dari awal tiap-tiap tahun.
(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.
(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya, dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
(5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.
FASAL 6 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.
(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
FASAL 7 MESYUARAT AGUNG
(1) Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir didalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 14 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada bulan April pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:
(a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun lalu;
(b) Menerima laporan Bendahari dan Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
(c) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira untuk tempoh dua (2) tahun;
(d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.
(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 30 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.
(5) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:
(a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.
(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada suatu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.
(8) Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.
FASAL 8 JAWATANKUASA
(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih setiap dua (2) tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:
Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Tiga orang Naib Presiden
Seorang Setiausaha Agung
Seorang Penolong Setiausaha Agung
Seorang Bendahari Agung
Sepuluh Ahli Jawatankuasa Biasa
(2) Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.
(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan setiap dua (2) tahun sekali akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dipilih semula .
(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:
(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;
(b) Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.
Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.
(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
(8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung diadakan.
(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.
(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.
(11) Jawatankuasa yang lama hendaklah menyerahkan semua dokumen Pertubuhan seperti sijil pendaftaran, undang-undang berdaftar, salinan-salinan penyata tahunan, surat-surat maklumbalas, buku-buku akaun, buku bank, cek dan resit, geran-geran tanah, senarai aset-aset dan sebagainya kepada Jawatankuasa baru semasa majlis penyerahan tugas dan dokumen diadakan. Walau bagaimanapun jika tedapat kehilangan, kerosakan dan kesilapan kepada mana-mana dokumen atau harta yang didapati semasa Jawatankuasa lama memegang jawatan maka ianya masih di bawah tanggungjawab Jawatankuasa yang lama.
FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI
(1) Presiden dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama Setiausaha dan Bendahari.
(2) Timbalan Presiden hendaklah membantu Presiden menjalankan tugas-tugasnya dan memangku jawatan Presiden semasa ketiadaan Presiden.
(3) Setiausaha Agung hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, keturunan, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan Penyata Tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1966.
(4) Penolong Setiausaha Agung hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.
(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha.
(6) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu pegawai-pegawai di atas dalam menjalankan tugas yang diarahkan oleh Jawatankuasa.
FASAL 10 KEWANGAN
(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walaubagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai dalam tangan tidak melebihi daripada RM1000.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ribu Ringgit Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dalam masa tidak lebih 7 hari dimasukkan ke dalam bank yang di luluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.
(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Presiden, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.
(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 1000.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ribu Ringgit Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang melebihi daripada RM 5000.00 ( Ringgit Malaysia : Lima Ribu Ringgit Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 1000.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ribu Ringgit Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha dan Bendahari.
(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.
(6) Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.
(7) Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Pertubuhan ini hasil dari penyertaannya dalam mana-mana pelaburan atau perniagaan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan ini, dan tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada mana-mana ahli. Sungguhpun demikian, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada mana-mana ahli atau pekerja Pertubuhan bagi perkhidmatan yang benar-benar diberikan kepada Pertubuhan ini.
(8) Menerima sumbangan atau mengadakan kutipan derma untuk tabung Pertubuhan bagi mencapai tujuan-tujuan Pertubuhan dengan kebenaran Pendaftar Pertubuhan dan pihak berkuasa berkenaan terlebih dahulu.
FASAL 11 PEMERIKSA KIRA-KIRA
(1) Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dilantik setiap dua (2) tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.
(2) Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa
FASAL 12 PENGAMANAH
(1) Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).
(2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.
(3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakkan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung.
FASAL 13 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
(1) Diantara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.
FASAL 14 PENASIHAT/PENAUNG
(1) Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
FASAL 15 LARANGAN
(1) Permainan yang disebut di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;
(2) Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan cara apa juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam Gerakan Kesatuan Sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.
(3) Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;
(4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.
FASAL 16 PINDAAN UNDANG-UNDANG
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
FASAL 17 PEMBUBARAN
(1) Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.
(2) Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.
(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh membuat keputusan pembubaran itu.
FASAL 18 LOGO
Persatuan ini akan menggunakan lambang bertanda gambar perahu layar (pinis) berwarna hitam di atas warna putih terletak dalam lingkaran bulan sabit berwarna hitam serta keris berwarna hitam terletak di bawah perahu layar yang sekaligus menimbulkan elemen ombak. Di sebelah atas bulan sabit terdapat tulisan tertulis perkataan ‘Persatuan Komuniti Bugis Sabah’. Juga tertulis tahun“1985” yang menunjukan tahun penubuhan sekaligus memperlihatkan sudah lebih dua dekad PKBS berusaha “menakhoda komuniti sivil”.
Butir-butir lanjut berkenaan dengan lambang ini hendaklah diterangkan maksud dan tujuannya serta rekabentuknya :
(i) Gambar perahu layar dalam lingkaran bulan sabit bermakna berazam untuk berusaha dan berjuang untuk hidup di bawah lindungan dan keredha’an Allah. Keris menandakan ‘ Kedaulatan dan keberanian’ yang sudah tertanam dalam diri kebanyakan komuniti Bugis. (Rekabentuk lihat lampiran)
(ii) Warna Putih - Lambang kesucian dan kejujuran
Warna Hitam - Lambang semangat kental berjuang & minda yang tidak mengetepikan sejarah
Warna hijau - Lambang kemakmuran
Warna merah - Lambang keberanian atas kebenaran
Warna kuning - Lambang Kedaulatan Undang-undang dan Perdamaian

 

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop