RAMADHAN KITA : MASIH ADA YANG SAYANG

E-mail Print PDF

Sebuah program untuk mendekati golongan muallaf, asnaf dan anak yatim telah dijayakan secara bersama oleh Kawasan Rukun Tetangga Bandar Sri Indah (KRT-BSI), Masjid Az-Zaeemah Bandar Sri Indah (MAZ-BSI) dan PKBS Daerah Tawau di dua buah kampung iaitu Kampung Iban Kuala Nansang dan Kampung Serudung Baru di Jalan Apas Balung kira-kira 25 KM dari pusat Bandar Tawau. Program Masih Ada Yang Sayang ini merupakan program berulang bagi KRT & MAZ BSI, manakala PKBS baru pertama kali mengikutinya.

 

Seramai 33 peserta telah menyertai program tersebut, di mana En. Arbien Setta mengetuai KRT, sementara En. Osman Syukur mengetuai MAZ dan Tuan Hj. Yala Munur mengetuai PKBS Daerah Tawau. Turut hadir adalah Timbalan Presiden 1 PKBS, Tuan Hj. Pondren Nawa ditemani isteri Puan Hjh. Kasmi Salindri yang juga selaku Ketua Kumpulan Selawat PKBS. Program ini diselaraskan oleh Ust. Julkifli Lahero selaku Ketua Biro Dakwah MAZ. Seawal 9.00 pagi, para peserta terlebih dahulu berkumpul di Masjid Az-Zaeemah Bandar Sri Indah untuk taklimat dan mempersiapkan barangan bantuan. Sebanyak 11 buah kenderaan pacuan empat roda telah digunakan dan bergerak ke lokasi secara konvoi dengan membawa beberapa barangan keperluan makanan sebagai bantuan persiapan menyambut aidilfitri.

Kampung Iban Kuala Nansang adalah lokasi pertama ditujui, semua peserta tiba sekitar jam 10.30 pagi. Kampung ini merupakan sebuah perkampungan masyarakat Iban, sejalur dengan suku Iban Merotai dan majoritinya beragama Kristian. Penduduk kampung di sini rata-ratanya bergantung hidup kepada pertanian sara diri seperti dusun buah-buahan dan perladangan kelapa sawit, di samping aktiviti perikanan sungai. Walaupun majoriti di kalangan mereka beragama Kristian, terdapat sebilangan kecil mereka yang telah menganuti Islam dan sebuah masjid telah didirikan di kampung ini sebagai pusat ibadah dan sosial penduduk Islam. Bantuan dari pengerusi masjid telah memudahkan kerja-kerja melawat saudara muallaf, asnaf dan anak yatim terus ke pintu rumah mereka, beramah mesra bertanyakan khabar dan menyampaikan sumbangan yang dibawa. Terdapat kira-kira 20 penerima di kampung ini yang telah ditemui.

Sekitar jam 11.30, para peserta bergerak ke lokasi kampung Serudung Baru. Para peserta singgah berehat dan beriktikaf di masjid kampung, seterusnya menunaikan solat Zohor berjemaah. Keadaanya tidak jauh berbeza dengan kampung sebelumnya, cuma di kampung ini penduduknya dari keturunan masyarakat Murut. Hadir dengan penuh senyuman dan sapaan muhibah, para peserta bergerak dengan dua kumpulan menziarahi 30 penerima yang terdiri dari muallaf, asnaf, ibu tunggal, dan anak yatim dengan diiringi pengerusi masjid kampung tersebut.

Program Ramadhan : Masih Ada Yang Sayang berakhir pada jam 1.30. Kesinambungan program ini wajar diteruskan dan dimeriahkan lagi, terutamanya mendekati golongan muallaf sekerap yang boleh menyampaikan risalah dakwah agar mereka tidak merasa terpinggir setelah memeluk Islam. Ucapan terima kasih kepada semua individu, kumpulan dan syarikat yang telah sudi menghulur bantuan samada secara tunai atau barangan untuk diagihkan kepada yang terlibat. Atas kepercayaan setiap muslim itu bersaudara, semoga dengan sedikit bantuan yang telah disampaikan dapat memeriahkan sambutan aidilfitri mereka dan anda diganjari selayaknya dari Allah.

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop