MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN KOMUNITI BUGIS SABAH (MAT-PKBS) KALI KE-6

E-mail Print PDF

Saujana Putra Ballroom di Lahad Datu, telah menjadi venu bagi 140 orang ahli PKBS, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) serta Perwakilan Daerah dan Pemerhati menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) persatuan untuk kali yang ke-6 pada 30 Julai 2016 (Sabtu) yang lalu. Ini merupakan kali yang kedua daerah Lahad Datu menjadi tuan rumah penganjuan MAT-PKBS, setelah menggalasnya dengan cemerlang pada 27 Oktober 2013. MAT-PKBS ke-6 ini merupakan mesyuarat agung biasa kerana tidak melibatkan pemilihan jawatan seperti yang telah diadakan di daerah Keningau pada tahun lalu. Perlembagaan PKBS menetapkan pemilihan jawatan dalam persatuan hanya boleh dilakukan untuk tempoh dua (2) tahun sekali.

 

 

Bertemakan ‘Sehati Sejiwa’, MAT-PKBS ke-6 mempromosikan semangat perpaduan untuk tiga peringkat, iaitu di kalangan ahli PKBS, komuniti Bugis Sabah dan kepada komuniti lain yang ada di Sabah. Selari dengan tema tersebut jawatankuasa MAT-PKBS ke-6 telah mengatur acara tiga (3) serangkai, iaitu MAT-PKBS di sebelah pagi, kemudian Majlis Silaturahim dan Diskusi Umum Hala Tuju Bugis Sabah bersama NGOs Bugis Sabah, dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKBS 2016 pada sebelah malamnya.

Sungguhpun dilangsungkan hanya di sebuah ballroom yang sederhana, namun pengisian perjalanan MAT-PKBS ke-6 amat bermakna dan menjurus kepada matlamat yang sangat besar pengertiannya. Datuk Osman Hj. Jamal selaku Presiden PKBS dalam Ucapan Dasar Presiden telah menyentuh beberapa perkara yang perlu untuk diambil perhatian oleh para Perwakilan yang hadir pada edisi MAT-PKBS kali ini. Di anatara intipati Ucapan Dasar Presiden kali ini adalah soal peralihan kepimpinan kepada generasi muda, penyertaan komuniti Bugis Sabah dalam pembangunan ekonomi negeri dan nasional, melahirkan komuniti Bugis Sabah yang menjadi aset kepada negeri dan negara, serta komitmen merealisasikan Kompleks Puado dan hospital pakar di Tawau secara usahasama dengan KPJ.

Menyentuh soal kepimpinan, YBhg. Datuk Presiden mengakui mengambil masa hampir lima (5) tahun untuk mencari pengganti yang dirasakan layak untuk memikul tanggungjawab menakhoda bahtera PKBS apabila beliau mengundur diri dari kepimpinan persatuan. Peralihan kepimpinan persatuan harus dirancang dengan sebaiknya agar tidak memberi kesan buruk kepada survival persatuan. Pengganti yang dipilih harus berkemampuan menggalas amanah yang diberikan. Beliau memanjatkan syukur kerana akhirnya beliau menemui seorang pemimpin muda yang beliau yakini cukup kemampuan meneruskan survival PKBS sebagai persatuan utama bagi komuniti Bugis Sabah. Pengganti yang dimaksudkan ialah Tuan Hj. Samsul Bahriy Marullah, yang ketika ini memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden 2 dan Pengerusi PKBS Daerah Lahad Datu. YBhg. Datuk Presiden secara rasmi memberi tanggungjawab melaksanakan tugas-tugas Presiden PKBS kepada Tuan Hj. Samsul Bahriy sebagai sebahagian daripada proses peralihan kepimpinan sehinggalah disahkan pada MAT-PKBS pemilihan tahun hadapan.

Intipati lain pada Ucapan Dasar Presiden ialah peri pentingnya komuniti Bugis Sabah mempersiapkan diri khususnya di kalangan generasi muda untuk turut serta dalam lonjakan ekonomi yang bakal dialami oleh negeri Sabah selari dengan Plan Tindakan Strategik Jangka Panjang 2016-2035. Beliau berpesan komuniti Bugis Sabah harus berperanan sebagai aset modal insan (tenaga professional) kepada pembangunan negeri dengan mempertingkat kemahiran diri dari semasa ke semasa agar tidak tergolong menjadi golongan yang menjadi liabiliti. Pada masa sekarang, YBhg. Datuk Presiden merasa teruja kerana golongan muda Bugis Sabah telah memperlihatkan kesungguhan kea rah matlamat tersebut. Sebagai contohnya, beliau berkesempatan melawat beberapa usahawan muda Bugis Sabah di Tawau yang terlibat dalam industri kreatif dan institut kemahiran yang menjadi sebahagian fokus dalam Plan Tindakan Strategik Jangka Panjang 2016-2035.

Tidak ketinggalan dalam Ucapan Dasar tersebut, sekali lagi YBhg. Datuk Presiden menyatakan komitmen janji beliau merealisasikan Kompleks Puado, iaitu sebuah mercu tanda Bugis Sabah di Tawau. Walaupun lokasi tapak kompleks telah diperolehi, namun beberapa isu pemilikan tapak masih dalam proses peralihan menyebabkannya lewat seperti yang dirancangkan. Turut menjadi fokus, adalah hasrat PKBS untuk melaksanakan usaha sama dengan KPJ Healthcare Berhad, bagi mewujudkan sebuah hospital pakar ibu dan anak di Tawau yang dilihat sebagai isu ‘fardu kifayah’ khususnya kepada umat Islam.

Sementara Pembentangan Laporan Aktiviti sepanjang tempoh 2015/2016 oleh Setiausaha Agung PKBS, Prof. Madya Dr. Abdullah Bade, tersenarai tidak kurang dari 50 aktiviti PKBS seluruh Sabah samada yang dianjurkan oleh PKBS Pusat atau Daerah-daerah. Selanjutnya Tuan Hj. Ambotola Pelu selaku Bendahari Kehormat dalam Laporan Kewangan bagi tempoh sesi yang sama menyatakan bahawa pihak persatuan tidak lagi bergantung kepada hasil dari kutipan yuran ahli sebagai sumber kewangan kerana yuran keahlian telah diubah kepada yuran seumur hidup, bermaksud dana kewangan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan ikhlas orang ramai.

Selesai pembentangan oleh Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat, sesi mesyuarat beralih kepada Perbahasan Ucapan Dasar Presiden dan Pembentangan Usul oleh Perwakilan Daerah. Perwakilan PKBS Daerah Tawau yang diwakili oleh En. Arbin Hj. Setta, tampil dengan usul agar PKBS memperkasa aspek pendidikan Bugis Sabah melalui tindakan-tindakan seperti sokongan kewangan dan bimbingan agar anak-anak Bugis Sabah tidak tercicir dalam persaingan pendidikan di semua peringkat. En. Hairul, wakil PKBS Daerah Keningau pula ke hadapan dengan usul ekonomi, dengan saranan membangunkan ekonomi Bugis Sabah melalui rangkaian niaga dan pemudahcara memperolehi dana kewangan.

En. Asis Jambo selaku Perwakilan PKBS Daerah Sandakan dan wakil belia, iaitu dari PKBS Auto Club Lahad Datu iaitu Sdr. Adnan Abu, menyokong proses yang sedang dilakukan dalam organisasi PKBS untuk memberi ruang yang seluas-luasnya kepada golongan muda melibatkan diri dalam kepimpinan persatuan. Demikian juga cadangan untuk mewujudkan kolej kemahiran khusus untuk membangunkan kemahiran belia-belia Bugis Sabah adalah sesuatu yang harus direalisasikan. Tiada usul tergempar dikemukakan oleh mana-mana Perwakilan pada MAT-PKBS ke-6 ini, mesyuarat berlangsung dalam suasana yang kondusif dan tertib.

Sesi Ucapan Penangguhan yang menarik perhatian adalah dari Naib Presiden 2, Tuan Hj. Samsul Bahriy Marullah di mana beliau dengan penuh rendah hati telah menyahut cabaran untuk menggalas amanah kepimpinan bahtera PKBS bagi sesi akan datang. Tepukan gemuruh pembakar semangat oleh para hadirin gamat memenuhi ruang persidangan sebagai tanda sokongan kepada plan peralihan kepimpinan tersebut. Nada yang sama turut diuahkan oleh Timbalan Presiden 1, Tuan Hj. Pondren Nawa dan Naib Presiden 2, Prof. Dr. Hjh. Arsiah Bahrom yang turut bersetuju bahawa sudah sampai masanya PKBS dipimpin oleh generasi muda. MAT-PKBS ke-6 telah dipengerusikan oleh En. Akmad Ibrahim selaku Pengerusi Tetap PKBS dan mesyuarat telah ditangguhkan tepat jam 1.27 Petang.

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop