TUJUH NGO BERGABUNG

E-mail Print PDF

Tragedi kebakaran pada 13 April 2016 lalu di Kampung Tanah Merah Batu 2 dan Kampung Titingan Blok 10 Tawau, membabitkan 263 keluarga telah membuka laluan kepada Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS), Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL), i-Bantu, MyCare Tawau, Borneo Amateur Radio Club (BARC), Masjid Az-Zaeemah BSI dan Masjid Quba Tmn. Semarak, bergandingan bahu mengumpulkan bantuan untuk diserahkan kepada keluarga yang terlibat. Bantuan berupa wang tunai telah diberikan kepada wakil-wakil keluarga seramai 220 orang yang hadir bertempat di Dewan Masyarakat Tawau pada 23 April 2016, manakala bantuan berupa barangan telah diserahkan di Masjid Habib Abdul Rahman Batu 2, Jalan Apas, pada 24 April 2016.

Terdahulu sebelum majlis penyerahan oleh Gabungan Tujuh NGO tersebut, Yayasan Nur Jauhar terlebih dahulu menyerahkan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Bin Haji Mahiruddin dan Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Binti Tan Sri Datuk R.M Jasni. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Apas YB Datuk Haji Taufiq Datuk Abu Bakar Titingan yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, En. Alijus Sipil (Presiden MPT) dan Datuk Osman Haji Jamal (Presiden PKBS).

Tuan Haji Yala Munur selaku Ketua PKBS Daerah Tawau, memanjatkan syukur kerana amanah derma oleh orang ramai yang dikumpulkan telah selamat disampaikan kepada yang terlibat. Beliau berharap kerjasama di kalangan NGO yang terlibat juga akan dapat diteruskan untuk kebaikan masyarakat setempat pada masa akan datang. KAREBA

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop