PERUTUSAN KHAS PRESIDEN : SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2015

E-mail Print PDF

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhananhu wa Taala kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua sekali lagi kita dapat bersama-sama menyambut Hari Kemerdekaan di bumi bertuah Malaysia dalam suasana aman dan harmoni. Tahun ini merupakan tahun yang ke-52 Sabah dan Sarawak bersama-sama sekali lagi menyambut hari kemerdekaan sejak 1963 di atas tema yang mencerminkan situasi semasa negara iaitu Sehati Sejiwa.

 

Atas nama komuniti Bugis Sabah, pastinya tema ini membawa maksud besar kerana ia menggambarkan bahawa perjuangan persatuan yang kita sayangi ini seharusnya didokong bersama-sama oleh semua ahli tanpa terpisah-pisah atas satu matlamat, atas satu tujuan membina kesatuan pemikiran, hati dan perasaan.

Sesungguhnya, setiap kemerdekaan akan bermula dengan sebuah perjuangan. Dan setiap perjuangan pastinya menuntut untuk kita berkorban menurut kesanggupan kita dalam segenap bidang dan lapangan. Justeru, pengorbanan itu bukanlah suatu yang mudah kecuali mereka yang mempunyai hati-hati yang ikhlas, semangat yang tinggi dan azam yang kental untuk melihat negara dan generasi mendatang dapat hidup bebas dari belenggu penjajahan, penindasan dan kemiskinan.

Begitulah juga hendaknya perjuangan kita dalam PKBS ini, berpaksikan tema Hari Kebangsaan tahun 2015, Sehati Sejiwa, maka setiap ahli sewajarnya mengorak langkah memperbetulkan niat, azam dan iqtikad untuk kita terus ikhlas dan memberi komitment yang terbaik bagi memastikan perjuangan PKBS ini terus melangkah dengan cemerlang. Ibarat perahu Pinisi yang gagah menongkah samudera tanpa rasa bimbang dan takut. Justeru, elakkan lah sebarang perbahalahan dan perselisihan, mari kita bersama membina kesatuan hati dan jiwa yang ampuh berteraskan agama dan sifat siri’yang begitu tebal dan dalam ditanam oleh nenek moyang kita selama ini.

Saudara-saudari ahli PKBS seluruhnya.

Menghimbau lipatan tawarikh perjuangan persatuan kita ini, ramai pihak merasa sangsi akan ehwal kemampuan kita untuk meneruskan dan membela nasib seluruh komuniti Bugis Sabah. Namun ternyata, sifat kesatuan yang berpaksikan agama dan sifat siri’ bangsa menjadikan komuniti Bugis Sabah akhirnya dapat dikenal khususnya dalam lapangan akademia, ekonomi, dan  pentadbiran. Inilah aset terbesar komuniti Bugis Sabah di negeri ini. Suatu aset kemanusian yang berpotensi untuk digarap dan dibangunkan bagi turut sama menjadi rakan penyumbang terhadap kemakmuran dan kemajuan pembangunan di bumi Sabah. Ini merupakan suatu fakta yang tidak boleh dibuang kerana sejarah pembangunan Sabah banyak menyaksikan penglibatan komuniti Bugis Sabah sebagai antara penyumbang terbesar dalam memajukan negeri ini.

Saudara-saudari ahli PKBS seluruhnya.

Saya sentiasa mendoakan dan berharap agar saudara-saudari sekalian terus dirahmati Allah, hidup dalam suasana muhibbah dan harmoni. Yakinlah bahawa elemen terpenting bagi melahirkan jati diri bangsa kita adalah melalui kesediaan kita untuk berjiwa besar, kesediaan kita menanamkan sifat-sifat keikhlasan serta sanggup menerima dan berkongsi kepelbagaian budaya yang ada di negara kita.  Jika elemen ini kita pertahankan inshaAllah, perjalanan kehidupan seluruh komuniti Bugis Sabah akan terus harmoni dan aman. Maruah komuniti Bugis Sabah akan terus terbela dan dihormati.

Akhir kata, sekali lagi setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh komunit Bugis Sabah di negeri ini kerana terus menyokong dan mendokong Persatuan yang kita sayangi ini. Inilah bahtera perjuangan kita dan inilah juga harapan baharu kita untuk membawa komuniti Bugis Sabah di negeri ini, meredah samudera, menyusur pulau dan daratan, merentas zaman dan menyongsong badai demi sebuah kegemilangan masa hadapan komuniti Bugis Sabah dalam segenap bidang.

SEHATI SEJIWA, SELAMAT HARI KEBANGSAAN 2015

DATUK HJ. OSMAN HJ. JAMAL

Presiden PKBS

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop