PERUTUSAN KHAS PRESIDEN : AIDIL FITRI 1436H

E-mail Print PDF

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar Walillahilham,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu,

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhananhu wa Taala kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua sekali lagi kita dapat bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri 1436 Hijrah bersamaan dengan tahun 2015 ini dalam suasana aman dan harmoni.

Di kesempatan yang diberikan oleh Allah swt pada hari yang mulia ini, saya dan isteri serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh komuniti Bugis Sabah dan kaum Muslimin serta Muslimat di negeri ini.

Di ruang dan kesempatan ini juga, saya menyeru kepada seluruh saudara-saudara komuniti Bugis Sabah, marilah kita bersama-sama terus melantunkan tahmid, puji dan syukur kepada Allah swt di atas kemenangan menyempurnakan ibadah puasa pada tahun ini. Sesungguhnya madrasah ramadhan adalan sebuah momen dan platform pendidikan insan yang menuntut kita melaksanakan transformasi diri secara menyeluruh ke arah penyempurnaan qaromah insaniah seorang manusia. Mudah-mudahan Ramadhan kita kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi mencorak dan membentuk sebuah kehidupan yang  diredhai Allah swt di masa akan datang.

Saudara-saudara komuniti Bugis Sabah, pada hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Sebagaimana tradisi leluhur kita, sebaik sahaja takbir bergema, solat Sunat Hari Raya dilangsungkan, doa kesyukuran dibacakan di rumah-rumah, maka bermulalah tradisi penting seluruh komuniti Bugis Sabah mengunjungi sanak saudara, meleburkan silap dan salah dengan kemaafan dan akhirnya menikmati hidangan Burasa, Sokko dan ayam masak likku. Inilah tradisi penting leluhur kita yang perlu sentiasa dipertahankan dan diperkenalkan kepada generasi komuniti Bugis Sabah mendatang.

Saya sentiasa mendoakan dan berharap agar suasana kunjung-mengunjungi dalam kalangan komuniti Bugis terus dipertahankan agar suasana muhibbah dan harmoni terus berkekalan dinikmati bukan sahaja oleh komuniti Bugis Sabah malahan oleh seluruh kaum yang terdapat di negeri kita ini.  Yakinlah bahawa elemen terpenting bagi melahirkan integrasi padu antara kaum di negeri kita adalah melalui kesediaan kita untuk berjiwa besar menerima dan berkongsi kepelbagaian budaya yang ada di negara kita.  Jika elemen ini kita pertahankan inshaAllah, perjalanan kehidupan seluruh komuniti Bugis Sabah akan terus harmoni dan aman. Maruah komuniti Bugis Sabah akan terus terbela dan dihormati.

Akhir kata, sekali lagi setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh komunit Bugis Sabah di negeri ini kerana terus menyokong dan mendokong Persatuan yang kita sayangi ini. Inilah bahtera perjuangan kita dan inilah juga harapan baharu kita untuk membawa komuniti Bugis Sabah di negeri ini, meredah samudera, menyusur pulau dan daratan, merentas zaman dan menyongsong badai demi sebuah kegemilangan masa hadapan komuniti Bugis Sabah dalam segenap bidang.

“SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN” kepada seluruh komuniti Bugis Sabah di seluruh negara.

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop