MAT KE-5 PKBS : MOMENTUM TRADISI KEPIMPINAN BERWIBAWA

E-mail Print PDF

Sememangnya mempunyai latar belakang dan cerita yang istimewa apabila mengimbas kembali sejarah perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) sejak tahun 2011 yang telah diadakan di Tawau, kemudiannya di Kota Kinabalu MAT ke-2 (2012), seterusnya di Lahad Datu MAT ke-3 (2013), kembali semula ke Kota Kinabalu MAT ke-4 (2014) dan kali ke-5 di Keningau (2015) baru-baru ini. Kelima-lima pengajuran MAT telah berjaya mengekalkan momentum kesatuan komuniti Bugis Sabah dari segenap lapisan di bawah kesatuan PKBS.

Bermula dengan sokongan padu ke atas kepimpinana YBhg Datuk Osman Hj. Jamal berserta Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pada tahun 2011 di Tawau, PKBS terus bergerak ke hadapan mencorakkan imej komuniti Bugis Sabah dengan berbagai bentuk program kemasyarakatan yang telah dilaksanakan. Program-program tersebut bukan sekadar khusus untuk komuniti Bugis Sabah semata-mata, malah turut menjangkau silaturrahim dengan suku bangsa lain serta institusi-institusi tertentu.

Penganjuran MAT ke-2 (2012) dan MAT ke-4 (2014) tidak melibatkan pembubaran dan pemilihan AMT-PKBS kerana pembubaran dan pemilihan hanya akan dilakukan untuk tempoh dua (2) tahun sekali seperti yang ditetapkan  dalam perlembagaan persatuan. MAT ke-3 yang telah berlangsung di Lahad Datu pada 27 Oktober 2013 telah menjadi penanda aras kematangan para perwakilan daerah serta ahli persatuan dalam menentukan tradisi pemilihan kepimpinan. Akhirnya di MAT ke-3, para perwakilan telah sepakat untuk menyokong usul  dan memberi kepercayaan penuh kepada YBhg. Datuk Osman Hj. Jamal menerajui nakhoda kepimpinan PKBS bersama AMT yang sedia ada untuk sesi berikutnya 2013/2015. Berucap meyampaikan ucapan Dasar Presiden, YBhg. Datuk Osman Hj. Jamal merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesepakatan dan kepercayaan penuh para perwakilan untuk beliau meneruskan menakhodai PKBS, beliau turut mengumumkan bahawa sesi 2013/2015 adalah sesi terakhir beliau sebagai Presiden PKBS. Dimuktamatkan pada MAT ke-3 di Lahad Datu, YBhg Datuk Osman Hj. Jamal kekal sebagai Presiden berserta AMT yang sedia ada, dengan usul perlantikan AMT tambahan iaitu Biro Penerangan.

Seterusnya MAT ke-5 yang telah diadakan di daerah Keningau pada 7 Jun 2015 lalu, sekali lagi para perwakilan daerah dan ahli PKBS seluruh Sabah bakal membuat keputusan soal kepimpinan PKBS yang akan menerajui persatuan tersebut bagi tempoh dua (2) tahun berikutnya, iaitu sesi 2015/2017. Menariknya penganjuran MAT-PKBS (tahun pemilihan) seakan sudah menjadi tradisi oleh setiap daerah penganjur akan mengadakan berbagai program sampingan sehari sebelum MAT dilangsungkan. Misalnya di Lahad Datu (2013), pihak PKBS Daerah Lahad Datu turut mengadakan Seminar Komuniti Bugis Sabah (SKBS) dan Malam Kebudayaan Bugis Sabah (MKBS). Sambutannya amat menggalakkan oleh ahli PKBS Daerah setempat dan dari luar daerah, seolah-olah memperlihatkan penganjuran MAT-PKBS seakan hari perkampungan komuniti Bugis Sabah. Demikian situasi yang sama terus dibawa ke daerah Keningau sempena MAT ke-5. Pihak PKBS Daerah telah mempersiapkan beberapa program sehari sebelum kemuncak MAT ke-5, di antaranya Seminar Komuniti Bugis Sabah (SKBS), Liga Futsal Piala Presiden dan Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) 2015.

Dua sesi seminar di SKBS tahun ini telah diadakan, di sebelah pagi seminar bertajuk Bugis Sabah Dari Prespektif Undang-undang dan Perlembagaan yang dibentangkan oleh Tuan Hj. Ansari Abdullah (seorang peguam kanan di negeri Sabah) dan di sebelah petangnya pula seminar bertajuk Ibadah Zakat Emas yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Abdul Rauf Abas (Penolong Setiausaha Dakwah & Syariah) dari Pusat Zakat Sabah. Walaupun dilangsungkan di dua tempat berbeza bagi kedua-dua sesi seminar tersebut, sambutan kehadiran tetap membanggakan oleh penduduk komuniti Bugis Sabah setempat. Melalui sesi soal jawab di setiap sesi seminar, memperlihatkan para peserta yang hadir cukup bersedia dan memahami intipati tajuk-tajuk seminar yang disampaikan. Di akhir seminar sesi ke-2, PKBS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Zakat Sabah (PZS) sebagai pengiktirafan lantikan kepada PKBS menjadi wakil kutipan zakat khususnya zakat harta dan perniagaan. Prof. Madya Dr. Arsiah Bahron (Naib Presiden Kedua) mewakili PKBS sementara  Ust. Abdul Rauf Abas mewakili PZS.

Pada hari yang sama 6 Jun 2015, bermula jam 9 pagi, turut dilangsungkan Kejohanan Liga Futsal Piala Presiden PKBS 2015. Sebanyak  tujuh (7) pasukan yang mewakili PKBS Daerah masing-masing telah berentap di gelanggang Futsal Xpertize Keningau. PKBS Daerah Keningau selaku tuan rumah diwakili oleh dua (2) pasukan iaitu Keningau A dan Keningau B, pasukan Belia Putatan mewakili PKBS Bandaraya. Manakala satu pasukan bagi setiap daerah mewakili PKBS Daerah Tawau, Kinabatangan, Lahad Datu dan Sandakan. Pasukan futsal yang mewakili PKBS Daerah Lahad Datu telah muncul Johan. Sementara pasukan futsal Keningau B di tempat kedua dan pasukan futsal Keningau A di tempat ketiga. Acara sukan seperti kejohanan futsal tersebut telah menarik minat generasi muda untuk mendekatkan diri dengan aktiviti persatuan.

Pada sebelah malamnya, Majlis Makan Malam MAT ke-5 dilangsungkan di Grand Ballroom hotel Juta Keningau. Antara acara di majlis tersebut adalah penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang (APC), Guru Cemerlang dan Guru Harapan. Seramai 25 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM dari seluruh negeri telah diraikan menerima penghargaan APC dari pihak persatuan. Turut diraikan adalah En. Hacho Darman (Tawau) selaku penerima anugerah Guru Cemerlang 2015, En. Alias Nurdin (Sandakan), penerima anugerah Guru Harapan 2015 bagi kategori Akademik dan Kokurikulum, manakala UST. Mohammad Yunus Abu (Lahad Datu) penerima anugerah Guru Harapan 2015 kategori Pendidikan Islam.

Kurang dari lima (5) ribu orang komuniti Bugis Sabah menetap di daerah Keningau, menjadikan komuniti ini adalah minioriti di kalangan suku bangsa lain di daerah tersebut. Pemilihan daerah Keningau untuk menganjurkan MAT ke-5 dilihat mampu menyerlahkan kewujudan komuniti Bugis Sabah sebagai sebuah komuniti yang membawa mesej persaudaraan kepada suku bangsa lain. Demikian pada majlis pembukaan MAT ke-5 pada 7 Jun 2015, pihak penganjur telah menjemput kumpulan kebudayaan suku kaum Murut untuk membuat persembahan kebudayaan bersama kumpulan kebudayaan komuniti Bugis Sabah daerah Keningau dan kumpulan 'Paggenddrang' dari Tawau. Satu kejutan oleh PKBS Daerah Keningau apabila turut menjemput juara Akademi Fantasia 2014 iaitu Mohd. Firman Bansir yang telah mendendangkan 4 buah lagu sebelum sesi MAT bermula. Susunan aturcara majlis pada hari itu telah membuktikan kematangan PKBS Daerah Keningau yang dipimpin oleh En. Rahman Paleti. Beliau mengucapkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Datuk Osman Jamal dan AMT PKBS di atas kepercayaan yang diberikan menganjurkan MAT ke-5 kali ini.

YBhg. Datuk Osman dalam menyampaikan Ucapan Dasar Presiden menyatakan  penghargaan terima kasih kepada setiap PKBS Daerah kerana begitu komited menjalankan berbagai aktiviti untuk manfaat komuniti Bugis Sabah yang secara langsung mengangkat imej positif PKBS. Di antara aktiviti yang beliau sebutkan adalah penyertaan PKBS Daerah Tawau di Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT), penganjuran Pesta Kumande oleh PKBS Daerah Lahad Datu, program Kembara Merdeka oleh PKBS daerah Kinabatangan, penyertaan PKBS Daerah Sipitang di Pesta GATA dan berbagai lagi aktiviti oleh PKBS Daerah termasuk PKBS Daerah Sandakan yang telah diaktifkan semula pada tahun lepas. Pemilihan daerah Keningau menurut beliau sebagai tuan rumah pengajuran MAT ke-5 adalah bersesuaian dengan keunikan daerah tersebut yang terdiri dari berbagai latar belakang suku kaum dan budaya, serta suasana sambutan pesta Kaamatan oleh masyarakat Kadazan-Dusun-Murut (KDM) yang masih dirayakan, mampu menjadi penghubung kepada perpaduan kaum. Selanjutnya, Ucapan Dasar tersebut turut menyentuh soal kesinambungan kepimpinan PKBS di mana beliau menyatakan masanya sudah tiba masa untuk memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui PKBS bagi meneruskan legasi kepimpinan komuniti Bugis Sabah kepada kepimpinan pelapis yang lebih bertenaga dan proaktif dengan persekitaran semasa.

Hasrat YBhg. Datuk Osman tersebut bagaimanapun mendapat sambutan dingin oleh para Perwakilan  Daerah yang telah sebulat suara menolak pengunduran tersebut, dan meminta beliau meneruskan kepimpinan untuk sesi berikutnya. Para Perwakilan Daerah sependapat bahawa kewibawaan dan kredibiliti Datuk Osman yang telah memimpin persatuan sejak sekian lama wajar dikekalkan sehingga pemimpin pelapis benar-benar bersedia mengambil alih teraju kepimpinan selepas ini. Kesepakatan oleh para Perwakilan Daerah tersebut telah mendorong YBhg. Datuk Osman akur kepada kehendak majoriti bagi meneruskan kepimpinan, di samping beberapa isu semasa yang masih memerlukan perhatian beliau.

Pada sesi perbahasan dan usul oleh para Perwakilan Daerah, berbagai isu dibangkitkan dan cadangan telah dikemukakan bagi memantapkan gerak kerja PKBS dalam menakhoda komuniti Bugis Sabah ke peringkat yang lebih baik. Di antara usul yang mendapat tempat adalah cadangan mewujudkan pasukan sukarelawan PKBS yang telah diutarakan oleh wakil PKBS Daerah Kinabatangan. Manakala wakil PKBS Sandakan mencadangkan agar beberapa wakil PKBS Daerah diangkat menganggotai Ahli majlis Tertinggi melalui kuota lantikan Presiden. Beberapa usul dan cadangan bersama turut mengambil tempat dalam sesi tersebut, khususnya soal kebudayaan, pendidikan dan ekonomi yang masing-masing dikongsi oleh wakil PKBS Daerah Tawau, Lahad Datu, Kinabatagan dan Sandakan. Kesemua usul dan cadangan tersebut mendapat perhatian Presiden dan AMT untuk diperincikan dalam mesyuarat AMT sesi 2015/2017 akan datang.

Tiga (3) usul tergempar MAT ke-5 turut mengambil perhatian ahli mesyuarat pada kali ini, iaitu menyokong kepimpinan YBhg. Datuk Osman Hj. Jamal untuk sekali lagi mencurahkan bakti meneruskan kepimpinan beliau menerajui PKBS, yang telah disampaikan oleh perwakilan PKBS Daerah Keningau. Sementara PKBS Daerah Sandakan mahukan jawatan Timbalan Presiden Kedua diwujudkan bagi memberi ruang kepada pemimpin pelapis bergandingan dengan pemimpin sedia ada menghadapi cabaran semasa. Usul tergempar ketiga dibawakan oleh wakil PKBS Daerah Tawau, agar seluruh komuniti Bugis Sabah menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri dan mendoakan beliau dianugerahkan kesihatan dan ketabahan dalam memimpin negara.

Penganjuran MAT ke-5 di Keningau akan menjadi salah satu catatan sejarah bermakna dalam mematangkan PKBS. YBhg. Datuk Osman Hj. Jamal kekal diterima menakhodai persatuan tersebut bersama barisan AMTnya yang turut dikekalkan di samping beberapa muka baharu menganggotai AMT bagi sesi 2015/2017. AMT sedia ada adalah dibarisi oleh Tuan Hj. Pondren Nawa, Tuan. Hj. Samsul Bahriy Marullah, En. Abdul Gani Zelika, Prof. Dr. Arsiah Bahron, En. Samasuddin Hj. Yusop, Prof. Madya Dr. Abdullah Bade, Tuan Hj. Ambotola Pelu, En. Samasuddin Hj. Lawe, Prof. Madya Dr. Asmiaty Amat, En. Mohd. Amin Tendreng, Tuan. Hj. Majid Kapili, Pn. Salmah Labulla, Dr. Ahemad Sade, En. Muhamad Hj. Tolling, Tuan. Hj. Mas Hendra Latif, En. Abduduha Abdul Rahman dan En. Saripudin Nuhalim. Sementara En. Akmad Ibrahim kekal selaku Pengerusi Tetap Mesyuarat. Manakala AMT baharu pula adalah terdiri daripada Tuan. Hj. Yalah Munur (Tawau), En. Mustapha Abd. Talip (Bandaraya), Ismail Aziz Mario (Bandaraya), Misbahuddin Mohd Rida (Bandaraya), Tuan. Hj. Yussup Nannong (Lahad Datu), Tuan. Hj. Edy Nasrin Hj. Muhammad Idris (Sandakan), En. Rahman Paleti (Keningau), dan En. Ahmad Herdianto Hj. Sidek (Kota Belud).

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop