BOLA SEPAK 9 SEBELAH PIALA PRESIDEN PKBS 2015

E-mail Print PDF

PADANG BOMBALAI, TAWAU - 14 JUN 2015 | Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) telah bergandingan bahu menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Presiden PKBS 2015 yang berlangsung selama dua hari bermula 13 dan 14 Jun 2015 di Padang Bombalai Tawau, dan telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Osman Hj. Jamal selaku Presiden PKBS. Turut hadir pada hari perasmian adalah Encik Arif Lakura (AGM TM Sabah). Penganjur kejohanan telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 44 pasukan sekitar daerah Tawau dan Lahad Datu untuk merebut Piala Pusingan dan hadiah berupa wang tunai.

Pasukan Dumpas FC (Tawau) telah muncul Johan apabila berjaya menewaskan pasukan PRBM FC (Lahad Datu) melalui penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa perlawanan. Johan telah membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai sebanyak RM1,500.00, sementara Naib Johan menerima piala dan wang tunai RM1,000.00. Di tempat ketiga dan keempat pula telah disandang oleh KIBA Junior FC dan Fit FC yang telah membawa pulang piala dan wang tunai RM750.00 dan RM500.00. Walaupun berlangsung dalam cuaca hujan renyai dan keadaan padang yang basah, kebanyakan pasukan masih mampu mempamerkan corak permainan yang terbaik.

Pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah, Tuan Hj. Pondren Nawa selaku Timbalan Presiden PKBS dalam ucapannya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih terutama sekali kepada pihak Telekom Malaysia Berhad kerana sudi berkerjasama menganjurkan kejohanan tersebut yang julung kali diadakan. Beliau berharap agar usaha tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai simbol kerjasama erat di antara NGO dan syarikat korporat untuk manfaat penduduk setempat khususnya dalam acara sukan. Ucapan syabas turut ditujukan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian kerana mempamerkan semangat kesukanan yang baik tanpa melibatkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Di pihak Telekom Malaysia Berhad yang diwakili oleh Encik Sabdin Noordin, menzahirkan rasa puas hati beliau kerana sambutan yang menggalakkan oleh penduduk setempat. Melalui kerjasama seperti ini pihaknya berpeluang mendekati masyarakat khususnya para pelanggan TM dan mendedahkan kepada mereka berkenaan produk-produk terkini yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi tersebut. Beliau turut berharap kerjasama di anatara TM dan PKBS dapat diteruskan pada masa akan datang, serta dipertingkatkan agar bukan hanya matlamat kesukanan yang dapat dicapai malah pembentukan masyarakat yang celik teknologi maklumat.

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop