AIDIL FITRI BERSAMA ANAK YATIM

E-mail Print PDF

SANDAKAN, 25 Ogos 2014 | Di hari-hari terakhir bulan Syawal meraikan Aidil Fitri, Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) berkesempatan mengadakan Majlis Sambutan Aidil Fitri Bersama Anak-anak Yatim Rumah Anak Yatim Al-Yakin, Sandakan. YBhg. Datuk Osman Hj. Jamal, Presiden PKBS yang ditemani Naib Presiden Tiga, Encik Samasuddin Hj. Yusop hadir bersama pemimpin-pemimpin masyarakat setempat dan 300 hadirin masyarakat komuniti Bugis Sabah sekitar Bandar Sandakan di majlis tersebut.

YBhg. Datuk Presiden dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa pihak persatuan amat komited untuk membantu masyarakat Komuniti Bugis Sabah khususnya dalam membangunkan modal insan. Beliau mengambil contoh usaha penubuhan Kompleks RAYYAJ (Rumah Anak Yatim Yayasan Jamaeah) di kampung Bombalai Tawau yang telah memulakan operasinya pertengahan tahun ini. Beliau menjelaskan RAYYAJ bukan hanya menjadi tempat perlindungan anak-anak yatim, malah menyediakan kemudahan pendidikan tahfiz bagi penghuninya dan dibimbing oleh ustaz-ustaz terbaik di bidang tersebut. PKBS berhasrat melahirkan modal insan bukan hanya untuk kerjaya professional, malah mempunyai pengetahuan agama yang terbaik. Kita berhasrat melahirkan jurutera, doktor, peguam, ahli akademik yang tahfiz, jelas beliau.

Rumah Perlindungan Anak Yatim Al-Yakim yang terletak di Lorong Bunga Botan, Batu 1.5 Jalan Utara Sandakan merupakan impian oleh allahyarham Datuk Hj. Andi Yakin Bin Mapasere atau lebih dikenali dengan nama Petta Sampa’ di kalangan masyarakat komuniti Bugis Sabah, sebelum beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2006. Hasrat tersebut akhirnya telah dapat direalisasikan oleh anak beliau iaitu Encik Andi Asmar Bin Datuk Hj. Andi Yakin, apabila pada 15 Februari 2014 rumah anak yatim tersebut beroperasi secara rasminya. Kini Encik Andi Asmar ditemani ibu beliau Datin Hjh. Aminah Binti Mangussara dan dibantu oleh ahli keluarga yang lain menguruskan rumah anak yatim tersebut yang mempunyai seramai 19 orang anak yatim serta 3 orang petugas khas.

Di majlis tersebut, YBhg. Datuk Presiden berkesempatan beramah mesra dengan semua anak-anak yatim serta hadirin yang hadir memeriahkan majlis. Sesungguhnya, kita amat dituntut sebagai muslim untuk memberi perhatian dan bantuan yang sebaiknya untuk golongan tersebut. Semoga Allah memberkati segala usaha kita dan merahmati komuniti ini. # KAREBA


 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop