ZIARAH KEMBARA MERDEKA KOTA KINABATANGAN

E-mail Print PDF

 

KOTA KINABATANGAN, 21 Ogos 2014 | Masih dalam suasana sambutan Hari Raya Aidil Fitri, masyarakat komuniti Bugis Sabah di daerah Kota Kinabatangan bertambah meriah hari ini apabila program Ziarah Kembara Merdeka 2014 anjuran PKBS Daerah Kinabatangan mendapat kunjungan istimewa oleh YBhg. Datuk Osman Hj. Jamal selaku Presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS). Program yang julung kali diadakan tersebut, adalah bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara serta menghargai nikmat kemerdekaan di kalangan komuniti Bugis Sabah khususnya yang berada di daerah Kota Kinabatangan.

Program bermula seawal jam 11.00 Pagi, dengan ketibaan rombongan Datuk Presiden di Kampung Paris Dua untuk diiring oleh konvoi Kembara Merdeka menuju ke Kampung Paris Tiga, iaitu lokasi perasmian program. Sebanyak 30 buah kenderaan dan 10 buah motorsikal telah mengambil bahagian berkonvoi sejauh 15 kilometer mengibarkan Jalur Gemilang oleh belia PKBS Daerah Kinabatangan.



 

Di majlis perasmian program tersebut, YBhg Datuk Presiden melahirkan rasa kekagumannya di atas semangat kesatuan yang ditunjukkan oleh masyarakat komuniti Bugis Sabah daerah Kinabatangan dalam menganjurkan program sedemikian. Beliau menegaskan, adalah penting mengekalkan semangat kesatuan tersebut agar masyarakat komuniti Bugis Sabah dapat kekal berdaya saing seterusnya menyumbang ke arah pengukuhan perpaduan sebagai warganegara Malaysia. Di majlis itu juga, YBhg. Datuk Presiden telah diberi penghormatan untuk menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada wakil setiap kampung untuk dikibarkan sempena sambutan bulan kemerdekaan. Turut dilancarkan adalah Tabung Khairat & Bencana PKBS dan penyampaian kelengkapan sukan kepada belia PKBS daerah Kinabatangan.

Tuan Hj. Latuo Sharif selaku Ketua PKBS Daerah merangkap Pengerusi Penganjur Program Ziarah Kembara Merdeka 2014, telah mengatur sesi lawatan ke beberapa buah kampung membawa YBhg. Datuk Presiden berserta rombongan untuk bertemu dan beramah mesra dengan para penduduk yang sememangnya telah lama menantikan lawatan oleh YBhg Datuk Presiden. Sebanyak lima (5) buah kampung telah dikunjungi pada program Ziarah Kembara Merdeka kali ini, bermula di Kampung Paris Tiga bertempat di kediaman Encik Latip Hamzah, kemudian ke kampung Koyah Bersatu di kediaman Encik Mahmusah Jamaluddin, seterusnya ke kampung Gomantong Jaya bertempat di kediaman Encik Mohd. Yusuf Hasanuddin, ke kampung Sg. Rotan di kediaman Tuan Hj. Landoleng dan berakhir di kampung Kembara Jaya di kediaman Tuan Hj. Idris Tahir.


 

Alhamdulillah, walaupun sepanjang kembara tersebut berlangsung dalam keadaan cuaca hujan, program Ziarah Kembara Merdeka 2014 PKBS Daerah Kinabatangan dapat berjalan dengan baik dan mencapai matlamatnya. YBhg. Datuk Presiden dapat bertemu, beramah mesra dan mendengar berbagai permasalahan masyarakat komuniti Bugis Sabah di setiap kampung yang dilawati. Program Ziarah Kembara Merdeka tersebut berakhir pada jam 9.00 malam. # KAREBA

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop