PKBS MERAIKAN PELAJAR CEMERLANG

E-mail Print PDF

Seramai 206 pelajar komuniti Bugis Sabah yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan  UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM tahun 2013 telah diraikan di satu majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) anjuran PKBS Daerah Tawau yang telah dilangsungkan di Auditorium Perpustakaan Daerah Tawau pada 10 Mei 2014 dan dirasmikan oleh Presiden PKBS iaitu YBhg. Datuk Haji Osman Haji Jamal. Pelajar-pelajar cemerlang yang diraikan hadir dari beberapa daerah negeri Sabah, di antaranya dari Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau.

Para pelajar yang diraikan terdiri daripada 82 pelajar UPSR, 76 pelajar PMR, 37 pelajar SPM, 10 pelajar STPM dan 1 pelajar STAM telah diberikan insentif saguhati berserta sijil penghargaan. Beberapa anugerah khas kategori sekolah turut disampaikan dalam APC kali ini, di antaranya Anugerah Sekolah Pencapaian UPSR Terbaik Negeri Sabah yang disandang oleh SK. Pasir Putih Tawau dan Anugerah Sekolah Pencapaian PMR Terbaik Negeri Sabah disandang oleh SMA Islamiah Tawau. Anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan dari pihak PKBS di atas sumbangan dan komitmen oleh pihak sekolah dalam mendidik anak-anak komuniti Bugis Sabah untuk cemerlang dalam akademik.

Manakala bagi kategori individu, adik Nurul Aslin binti Beddu dari SMA Islamiah Tawau telah diberikan Anugerah Khas Pelajar Terbaik (Akademik) apabila cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama (MUMTAZ). Sementara lima (5) kategori khas cemerlang akademik dan kokurikulum (kebangsaan & antarabangsa) yang lain telah disandang oleh adik Nureka Kurnia Suzliana binti Anuar (SMK Pasir Putih, Tawau), adik Hauruddin bin Pahadis (SMK Wakuba, Tawau), adik Mohd. Razwansyah bin Sangkala (SMK Tawau, Tawau), adik Mohd. Syawal bin Charo (MRSM Tun Mustapha, Tawau) dan adik Elvessyah Pertiwi binti Mohd. Putra (SMK Gunsanad, Keningau). Kategori anugerah tersebut telah disumbangkan oleh Persatuan Peguam-peguam Muslim Sabah.

Terdahulu dalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Haji Osman Haji Jamal dalam ucapan perasmiannya mengingatkan dan mengajak anak-anak komuniti Bugis Sabah agar sentiasa mensyukuri nikmat dan peluang yang ada pada hari ini kerana dapat bersekolah dalam suasana yang lebih baik berbanding ibu bapa mereka dahulu, termasuklah keperihatinan oleh pihak kerajaan yang memberi peluang pembelajaran dan kerjaya tanpa mengira latar belakang suku kaum. Beliau turut menceritakan sendiri pengalaman hidup beliau bersekolah sehingga berjaya menjadi salah seorang pengarah di jabatan kerajaan, agar menjadi iktibar dan motivasi kepada para pelajar, bahawa tidak ada yang mustahil untuk dicapai andai kita bijak menggunakan peluang yang ada. Selaku Presiden PKBS, beliau akan berusaha sepenuhnya untuk memastikan acara APC diadakan setiap tahun serta dikemaskan lagi sebagai salah satu acara tetap dalam kalendar aktiviti PKBS.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg. Datuk Tahir Pico (Pengarah Urusan Rastamas), Tuan Haji Hadi Haji Karim (Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, mewakili PPD), Tuan Haji Eko Sukohidayat Sunarto (Pengetua Cemerlang SMK Tawau), Tuan Haji Hata Mohamad (Guru Besar Cemerlang SK Pasir Putih Tawau), wakil-wakil dari SMA Islamiah Tawau dan MRSM Tun Mustapha Tawau, serta Ahli Majlis Tertinggi PKBS dan Ketua-ketua PKBS Daerah.

Prof. Madya Dr. Arsiah Haji Bahrom selaku Pengerusi penganjuran APC merangkap Naib Presiden 2 PKBS, mengulas berkenaan penganjuran program tersebut menyatakan bahawa APC ini sangat signifikan dan amat bermakna kepada pelajar dan ibu bapa. Ianya dapat membantu meningkatkan tahap motivasi pelajar melalui pengiktirafan dan penghargaan ke atas usaha dan pencapaian mereka. Melalui APC ini juga menunjukkan yang PKBS sangat prihatin dengan kemajuan dan kebajikan anak-anak komuniti Bugis Sabah untuk melahirkan modal insan peneraju masa depan negara. Beliau turut mengharapkan agar APC dapat dilaksanakan pada setiap tahun dan diperkemas dari masa ke semasa agar lebih menyeluruh. # KAREBA

 
Visitors hit counter, stats, email report, location on a map, SEO for Joomla, Wordpress, Drupal, Magento and Prestashop